Terma & Syarat
Terma & Syarat ini mengawal penggunaan platform AntarEase yang dikendalikan oleh DRG ANTAR NUSANTARA SDN. BHD. ("AntarEase", "kami"). Dengan mendaftar akaun atau menggunakan perkhidmatan kami, anda bersetuju dengan terma di bawah.
1. Perkhidmatan
AntarEase ialah platform agregator penghantaran: kami menghimpunkan beberapa kurier dalam satu tempat supaya anda boleh membandingkan tambang, membuat tempahan, mencetak label, menjejak bungkusan dan menerima kutipan COD. Penghantaran fizikal dilaksanakan oleh syarikat kurier pihak ketiga (antaranya SPX Express, Pos Malaysia dan J&T Express) mengikut terma dan liputan masing-masing.
2. Akaun
- Anda bertanggungjawab menjaga kerahsiaan kata laluan dan segala aktiviti di bawah akaun anda.
- Pemilik akaun bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan sub-pengguna yang diciptanya dan permintaan yang dibuat menggunakan token API akaunnya.
- Maklumat pendaftaran mestilah tepat dan terkini. Pengesahan emel diperlukan sebelum akaun boleh digunakan.
3. Tambang dan bayaran
- Baki dompet transaksi ditambah melalui pembelian pakej; keseluruhan jumlah yang anda pindahkan akan dikreditkan ke dompet anda selepas pengesahan.
- Tambang dikira semasa tempahan berdasarkan berat dan laluan. Berat dicaj ialah berat sebenar atau berat volumetrik, mengikut mana yang lebih tinggi; kurier berhak melaraskan berat selepas timbangan semula di pusat sortir.
- Tambang yang dipaparkan tidak termasuk surcaj tambahan yang mungkin dikenakan kurier, seperti caj pembetulan alamat, caj bungkusan berlebihan saiz atau berat, caj pemulangan, serta duti dan cukai kastam.
- Baki dompet transaksi hanya boleh digunakan untuk membayar tambang dan perkhidmatan di platform; ia tidak boleh dikeluarkan sebagai wang tunai.
4. Bayar Semasa Terima (COD)
- Jumlah COD minimum ialah RM10.00.
- Yuran perkhidmatan COD dipaparkan semasa tempahan dan ditolak daripada jumlah kutipan.
- Hasil kutipan dikreditkan ke Dompet COD anda selepas status penghantaran menjadi "Diserahkan", dan boleh dimohon untuk pengeluaran ke akaun bank berdaftar anda.
5. Kewajipan pengirim
- Butiran penghantaran (alamat, nombor telefon, berat, nilai barang) mestilah tepat. Setelah tempahan dibuat, butiran pengambilan dan penghantaran tidak boleh dipinda. AntarEase dan kurier tidak bertanggungjawab atas butiran salah yang dimasukkan pengirim, dan tiada bayaran balik diberikan atas sebab itu.
- Bungkusan mesti dibungkus dengan sempurna mengikut garis panduan pembungkusan kurier.
- Anda tidak boleh menghantar barang larangan, antaranya: wang tunai, barang kemas dan logam berharga, bahan mudah terbakar atau meletup, aerosol dan bateri litium yang tidak dibungkus mengikut peraturan, senjata, dadah, haiwan hidup, dokumen identiti asli, dan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang Malaysia atau terma kurier. Penalti kurier atas barang tidak diisytihar ditanggung sepenuhnya oleh pengirim.
6. Had berat dan dimensi
- Secara umum berat maksimum setiap bungkusan ialah 30kg; had tepat dan formula berat volumetrik berbeza mengikut kurier - rujuk halaman Soalan Lazim.
- Penghantaran tidak tersedia ke alamat Peti Surat (P.O. Box) dan sesetengah kawasan FELDA.
7. Label penghantaran
Sesetengah kurier mewajibkan nota konsainan rasmi mereka; bagi kurier tersebut pilihan templat sendiri tidak tersedia. Bungkusan tanpa label yang betul boleh ditolak di pusat sortir.
8. Penghantaran gagal dan pemulangan
Jika penghantaran gagal diserahkan (contohnya penerima tidak dapat dihubungi atau alamat tidak lengkap), bungkusan akan dipulangkan kepada pengirim dan kos penghantaran pulang ditanggung oleh pengirim.
9. Insurans dan had liabiliti
- Perlindungan kehilangan atau kerosakan adalah tertakluk kepada terma kurier, dengan had maksimum RM200 atau nilai barang yang diisytiharkan, mengikut mana yang lebih rendah, melainkan insurans tambahan dibeli semasa tempahan.
- Tuntutan mesti dikemukakan bersama bukti (gambar bungkusan dan resit nilai barang) dalam tempoh yang ditetapkan kurier. Kami akan membantu menguruskan tuntutan dengan pihak kurier.
- AntarEase tidak bertanggungjawab atas kelewatan, kehilangan atau kerosakan yang berpunca daripada pihak kurier, bencana alam, atau maklumat salah daripada pengirim, melebihi had perlindungan di atas.
10. Pembatalan dan bayaran balik
- Penghantaran yang belum diambil kurier boleh dibatalkan; tambang akan dipulangkan sepenuhnya ke dompet transaksi anda.
- Selepas bungkusan diambil, pembatalan tidak lagi tersedia dan proses pemulangan kurier terpakai.
11. API dan integrasi
- Capaian API diberikan atas kelulusan kami dan boleh ditarik balik jika disalahgunakan.
- Token API membawa capaian penuh akaun anda - simpan seperti kata laluan. Segala tempahan yang dibuat melalui token anda dianggap tempahan anda.
12. Penggantungan dan penamatan
Kami berhak menggantung atau menamatkan akaun yang melanggar terma ini, menyalahgunakan platform, atau digunakan untuk aktiviti penipuan. Baki Dompet COD yang sah akan tetap dibayar selepas semakan.
13. Am
- Kami boleh meminda terma ini dari semasa ke semasa; versi terkini dipaparkan di halaman ini.
- Terma ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia.
- Pertanyaan: info@antarease.my.
Ada soalan lain? Lihat pusat bantuan